Dewan Rakyat Institusi Penting Bincang Isu Rakyat

Datuk Mohd Azis Jamman

KOTA KINABALU: Dewan Rakyat berperanan penting membincangkan isu dan masalah negara dan menyelesai masalah rakyat.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata institusi itu perlu menggalas tanggungjawab berkenaan dan sidang Dewan Rakyat mesti dilaksanakan lebih daripada sehari.

“Negeri boleh mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa sebarang masalah dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial dan memakai pelitup muka. Malah, ada kerajaan negeri yang berupaya menukar Yang DiPertua Dewan Negeri.

“Tetapi kerajaan Persekutuan menggunakan pelbagai alasan seolah-olah ingin mengelak dari berhadapan dengan Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau turut berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin patut mengambil peluang sidang minggu depan untuk membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi, pada dasarnya yang layak menjadi perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Persidangan Parlimen kali ini peluang yang baik buat beliau untuk menutup mulut pihak yang mempertikaikan legitimasi beliau sebagai perdana menteri,” katanya.

Azis turut menegaskan kerajaan tidak harus menggunakan isu COVID-19 sebagai alasan memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dapat dilaksanakan ke atas orang ramai dengan skala yang lebih besar, berbanding hanya 222 orang Ahli Parlimen.

Malah, pihaknya juga turut dimaklumkan semua ahli parlimen telah diwajibkan untuk membuat pemeriksaan COVID-19 pada 14 sehingga 15 Mei di Dewan Parlimen bagi memastikan semua ahli parlimen bebas COVID-19 sebelum sidang parlimen bermula yang dijadualkan 18 Mei ini.

Hari ini, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan Dewan Rakyat tidak bersidang selepas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada majlis perasmian mesyuarat pertama, penggal ketiga, Parlimen ke-14, Isnin ini. – Berita Harian

971