Jangan Ambil Mudah, PKPB Boleh Jadi PKP Semula

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto Bernama.

PUTRAJAYA: Kerajaan mendapati masyarakat seolah-olah mengambil mudah kelonggaran diberikan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), seolah-olah tiada undang-undang.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ada orang ramai mengambil kesempatan keluar beramai-ramai dan bergerak bebas, termasuk membawa anak ke pusat beli-belah dan ia tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata, contohnya semalam beliau menerima video tular mengenai keadaan orang ramai di warung di Kampung Pandan dan menyangkakan ia adalah palsu.

“Jadi, saya menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum beliau mengesahkan ia adalah berita benar.

“Saya nak tekankan bahawa Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berkuat kuasa dan apabila kita melonggarkan, rakyat mesti patut kerana bimbang kes baru akan berlaku dan kes positif Covid-19 meningkat.

“Saya beri peringatan bahawa PKPB bukan boleh terus kekal PKPB, sebaliknya ia boleh menjadi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula tertakluk kepada kepatuhan rakyat yang kini menikmati sedikit kelonggaran,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, jika berlaku ketidak patuhan, bukan mustahil, PKP Fasa 1, 2 dan 3 akan diperkenalkan semula.

Beliau berkata, jika rakyat mahu terus menikmati PKPB atau mungkin menyaksikan ia ditamatkan, semuanya bergantung kepada pematuhan rakyat.

“Tidak mustahil kembali ke PKP dan pergerakan terbatas semula. Jadi lebih baik rakyat patuh dan PKPB ditamatkan sebelum kita bebas bergerak semula dengan SOP diperkenalkan nanti.

“Pesanan saya, teruskan berada di rumah, patuh kepada undang-undang dan saranan kerajaan,” katanya. – HMetro

2828