Aktiviti Pendakian Gunung Kinabalu Dibuka Semula 15 Mei

RANAU: Setelah hampir dua bulan ditutup, aktiviti pendakian Gunung Kinabalu akan dibuka semula pada 16 Mei ini.

Bagaimanapun, kapasiti pendaki dihadkan iaitu daripada 190 orang dikurangkan kepada 100 orang bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Taman-taman Sabah (TTS) Dr Maklarin Lakim berkata, langkah mengehadkan kapasiti kepada 100 orang pendaki termasuk malim gunung dan porter itu bagi membolehkan pendaki mengekalkan jarak sosial ketika melakukan aktiviti pendakian.

Beliau berkata, aktiviti pendakian dibuka kepada mereka yang benar-benar sihat sahaja tidak kira rakyat tempatan mahupun pelancong asing, yang masih berada di Sabah.

Menurutnya, aktiviti pendakian ini dibuka agak lewat bagi membolehkan TTS menyedia dan mematuhi SOP yang ditetapkan. Pada 10 Mei lalu, kerajaan Sabah mula membenarkan aktiviti riadah dan rekreasi dibuka berdasarkan syarat dan SOP tertentu.

Maklarin juga menyarankan pendaki supaya menggunakan pelitup muka terutama semasa berada di kemudahan penginapan demi memastikan keselamatan diri masing-masing.

Beliau berkata, TTS juga menawarkan diskaun 50 peratus bagi aktiviti pendakian Gunung Kinabalu bagi tempoh enam bulan sehingga November.

Permit mendaki untuk warga Malaysia adalah RM50 untuk dewasa dan RM30 untuk mereka yang berusia di bawah 18 tahun. Manakala, permit untuk pelancong asing pula adalah RM200 untuk dewasa dan RM80 untuk kanak-kanak.

Yuran tambahan berjumlah RM400 turut dikenakan bagi kemudahan penginapan dan makan; RM250 untuk seorang malim gunung dan RM7 bagi insurans pendakian.

Tempahan boleh dilakukan melalui Pejabat Taman-taman Sabah mahupun tempahan secara online yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *