Jangan Politikkan Isu Pelaksanaan PKPB Di Sabah

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) membidas kenyataan Ketua Penerangan Parti Bersatu (Bersatu) Sabah berkaitan dakwaan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat “U-turn” berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua, berkata Datuk Joniston Bangkuai mungkin kekurangan idea untuk mempertahankan keputusan kerajaan pusat berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Jangan mempolitikan isu ini. Ketua Menteri sudah memberikan penerangan iaitu kerajaan negeri memandang serius berkenaan keselamatan serta kesihatan rakyat Sabah berbanding ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri perlu meneliti dan mengkaji sedalam-dalamnya sebelum melaksanakan PKPB di negeri ini.

“Tiada istilah “U-turn” dalam perkara ini kerana keputusan yang dibuat oleh kerajaan dengan membenarkan sektor pertanian dan perhutanan dibuka apabila kajian terperinci sudah dijalankan,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Loretto meminta pihak berkaitan tidak mengkritik kerajaan negeri sewenangnya apabila Ketua Menteri

berusaha mentadbir negeri tanpa campur tangan Persekutuan.

“Hal ini menunjukkan kita mahu kebebasan dalam membuat keputusan.

“Paling penting kerajaan negeri memberi garis panduan kepada semua pemain sektor yang terbabit berkenaan dengan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang perlu dilaksanakan,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *