Pembawa Usul Mesti Letak Jawatan – Rahman Dahlan

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR: Membawa usul undi percaya atau tidak percaya secara mengejut di Parlimen boleh mengundang ketidakstabilan politik negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, individu yang melakukan tindakan sedemikian akan meletak jawatan jika percubaannya tidak berjaya.

Katanya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengemukakan usul undi percaya Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat harus bertanggungjawab apabila usul beliau ditolak.

“Individu berkenaan (Shafie) secara budiman akan mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan itu termasuk apabila usul itu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.

“Ini kerana sudah tentu individu berkenaan tahu Speaker akan menolak usul yang tidak mengikuti peraturan mesyuarat parlimen atau perlembagaan Malaysia.

“Jika tidak ada pertanggungjawaban, Parlimen terpaksa berdepan dengan usul undi tidak percaya setiap hari yang akan mengakibatkan ketidakstabilan politik negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.

Abdul Rahman turut berkata secara adilnya, jika usul itu berjaya, Perdana Menteri mesti letak jawatan dan kalau tidak berjaya, pembawa usul pula mesti letak jawatan.

“Persoalannya apakah Ahli Parlimen Semporna yang juga Ketua Menteri Sabah itu mempunyai etika politik untuk meletakkan jawatannya? Kita tunggu dan lihat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menolak usul yang dikemukakan Mohd Shafie Apdal mengenai usul undi percaya bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti ahli.

Mohamad Ariff menolak usul terbabit kerana penjelasan yang dinyatakan dalam usul berkenaan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan jawatan Perdana Menteri.

Semalam media turut melaporkan Shafie mengesahkan surat tular berhubung usul undi percaya di Dewan Rakyat bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad memiliki sokongan majoriti ahli dewan sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Shafie tidak mengulas lanjut mengenai perkara terbabit dan menjelaskan tunggu sidang Dewan Rakyat kelak. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *