Kad Pengenalan Fizikal Perlu Dihapuskan

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya kerajaan mengambil inisiatif menukar kad pengenalan fizikal kepada digital yang lebih dijamin keselamatannya berbanding yang digunakan ketika ini.

Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dr Mohd Mizan Aslam berkata, peralihan kepada digital itu penting kerana ia lebih selamat dan sistematik dengan sistem tertentu yang lebih canggih.

Katanya, penggunaan pengenalan diri secara biometrik dan retina juga boleh diintegrasikan dengan apa juga sistem yang ada di negara ini tanpa perlu bimbang risiko hilang atau dicuri.

“Seiring perkembangan teknologi yang begitu pesat, saya berpendapat kad pengenalan secara fizikal mungkin perlu dihapuskan, kerana secanggih mana pun ia dibuat, pihak tidak bertanggungjawab akan sentiasa mendahului.

“Ini kerana kita masih berpandukan kepada kad fizikal dan hanya beberapa urusan tertentu saja kita imbas untuk pengesahan,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Mizan berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pemilikan kad pengenalan Malaysia oleh warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) menjadi isu yang mengundang kebimbangan rakyat.

Katanya, ia berlaku kerana terdapat permintaan dan penawaran kerana ia ibarat ‘nyawa’ kepada mereka untuk tinggal dan bekerja di sini termasuk jutawan dari luar negara seperti Arab dan Eropah. “Mengikut laporan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 1.3 juta kad pengenalan hilang akibat kecuaian; 363,580 (jenayah) dan 20,410 (bencana).

“Soalnya, jika 1.7 juta kad pengenalan ini terlepas ke tangan mereka yang melakukan jenayah, bagaimana kita hendak menyelesaikan penganiayaan ini, sama juga dengan sindiket mengaut untung di atas keistimewaan yang diberi kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan dianggotai mereka yang berkecuali yang melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, katanya, kamera litar tertutup (CCTV) di JPN perlu ditambah dan diselia terus ke pangkalan data supaya boleh terus diakses dari web.

“Jika ia membabitkan kakitangan serta orang dalam, tindakan tegas perlu diambil kerana ia jelas pengkhianatan kepada negara,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4695