Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo Perlu Bantuan

Antara beruang yang berada di Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo di Sandakan, Sabah, terjejas teruk akibat wabak Covid-19. FOTO Hazsyah Abdul Rahman

SANDAKAN: Pandemik Covid-19 yang melanda memberikan kesan teruk ke atas Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) di Sandakan.

Lokasi tarikan pelancongan yang terletak di Batu 14, Sepilok itu, terpaksa ditutup bagi mematuhi perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dilaksanakan 18 Mac lalu.

Pengasas BSBCC, Dr Wong Siew Te berkata, kakitangan yang terbabit secara langsung dengan penjagaan beruang masih bertugas seperti biasa termasuk beliau sendiri.

Menurutnya, kakitangan lain hanya bekerja dari rumah dan sepanjang tempoh PKP pusat itu ditutup menyebabkan mereka kini dilanda memiliki masalah sumber pendapatan.

“Kos operasi kami bergantung sepenuhnya dengan jualan tiket pelawat. Berdasarkan statistik kehadiran pelancong tahun lalu lebih 84,000 orang melawat BSBCC.

“Sebanyak 60 peratus dalah pelancong asing terutama dari United Kingdom (UK). Selebihnya pelancong tempatan. Dengan hasil jualan itu kami boleh menjalankan operasi dengan sempurna.

“Tetapi selepas lebih sebulan tidak boleh beroperasi, kami berdepan masalah dana ketika ini,” katanya ketika ditemui media.

Siew Te berkata, pusat konservasi itu kini hilang sumber pendapatan sedangkan kos operasi sebulan yang diperlukan adalah sebanyak RM120,000.

“Ia merangkumi kos makanan lebih 40 beruang, ubat-ubatan, gaji dan juga kos penyelenggaraan.

“Justeru, pihak kami merayu pihak kerajaan agar dapat menyalurkan bantuan dengan segera.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan sumbangan ataupun melalui program anak angkat beruang yang kami sediakan,” katanya.

Siew Te berkata, pihak yang ingin menyalurkan sumbangan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pusat itu di laman web mereka di www.bsbcc.org.my atau melalui laman sosial rasmi Facebook Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC). – HMetrp

768