Sabah Kekal Laksana PKP Hingga 12 Mei

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah kekal dengan pendirian dengan status quo untuk meneruskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan Perdana Menteri itu masih perlu dikaji dan diteliti secara mendalam bersesuaian dengan keadaan di Sabah.

Beliau berkata, disebabkan kerajaan persekutuan memutuskan perkara itu tanpa berhubung dengan kerajaan negeri terlebih dahulu maka, kerajaan negeri memerlukan persediaan bagi melaksanakan PKPB tersebut.

Katanya, kerajaan persekutuan kena memahami keadaan persekitaran negeri sama ada boleh atau tidak melaksanakan apa yang baharu diputuskan secara serta-merta.

Tambahnya, kerajaan negeri perlu memberi keutamaan terhadap keselamatan nyawa manusia di peringkat negeri terlebih dahulu sebelum membuka lebih banyak sektor ekonomi.

Pelaksanaan PKPB bermula 4 Mei itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Hari Buruh pada 1 Mei lalu.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan pelaksanaan PKPB sudah diwartakan dan semua negeri tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti diwarta mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *