Puji Cara Malaysia Tangani Covid-19

Ustaz Suharsono

JAKARTA: Penceramah dan penulis buku Indonesia, Ustaz Suharsono kagum dengan cara Malaysia menangani Covid-19.

Menerusi rakaman video dikongsi di saluran Youtube, Suharsono berkata, keputusan yang dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengurus pandemik itu adalah bertunjangkan Islam.

Beliau yang juga Pengarah Lembaga Studi Pengembangan Peradaban (LSiPP) berkata, langkah itu juga memberi peluang untuk ekonomi negara pulih tetapi dalam masa sama terus mengekang wabak daripada menular.

“Perdana Menteri yang cukup memberi kepedulian yang luar biasa kepada masyarakatnya.

“Rakyat dapat keperluan yang baik tidak kira yang kaya atau miskin kerana semua dijamin mendapat bantuan,” katanya.

Beliau berkata, pembukaan semula ekonomi dilihat satu usaha untuk membantu rakyat dan negara diatur dengan cara Islamik.

“Malaysia berjaya mengawal koronavirus (Covid-19) dengan jumlah kematian yang rendah berbanding negara lain.

“Ini sesuatu yang menarik dengan kemampuan pemerintah (kerajaan) di Malaysia betul-betul menghargai rakyat tanpa protes,” katanya.

Menurutnya, jika pemerintah itu adil dan mempedulikan rakyat, negara itu pasti akan terus makmur daripada pelbagai sudut terutama ekonomi.

Tambahnya, penurunan harga bahan api sejak Covid-19 di Malaysia juga membuktikan kerajaan tidak mengeksploitasi rakyat di saat sukar.- Agensi

890