SESB Buka Bilik Gerakan Untuk Pertanyaan Bil & Diskaun

KOTA KINABALU- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan membuka bilik gerakan bagi menerima pertanyaan daripada pengguna mengenai bil dan diskaun bil elektrik bermula esok.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Norhizami Abu Hasan berkata, pengguna yang mempunyai pertanyaan mengenai pemberian diskaun bil elektrik boleh menghubungi bilik gerakan SESB melalui talian 088-222 313, 223 313 dan 224 313 atau melalui aplikasi whatsapp 019- 852 5427.

Selain itu pengguna juga boleh mengajukan pertanyaan melalui e-mel [email protected].

Norhizami berkata, bilik gerakan ini akan beroperasi pada waktu bekerja iaitu bermula pada 8 pagi hingga 5 petang, setiap Isnin hingga Jumaat.

Malah, pengguna juga boleh menghubungi SESB Careline 15454, 088-515000 atau melalui aplikasi Whatsapp 019- 852 5427 selepas waktu pejabat.

Beliau menjelaskan semula bahawa diskaun sebanyak 28% diberikan oleh kerajaan negeri Sabah dan ia berkuatkuasa pada 1 April sehingga 30 Jun, manakala 2% lagi adalah diskaun yang diberikan oleh kerajaan persekutuan dan akan berkuatkuasa bermula pada bulan 1 April sehingga 30 September.

Pemberian diskaun 30% sepertimana yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah ini akan melibatkan seramai 500,000 pengguna domestik dengan bil bulanan RM500 ke bawah di negeri Sabah dan W. P Labuan.

Bagaimanapun, pengguna dengan bil bulanan melebihi jumlah RM500 akan hanya menikmati diskaun sebanyak 2% bermula 1 April sehingga 30 September.

Pengguna komersil dan industri juga turut menikmati diskaun sebanyak 15% dan ini melibatkan pengguna komersil dalam enam sektor pelancongan iaitu hotel, agensi pelancongan, kompleks membeli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan melibatkan sejumlah 900 pengguna komersil.

Manakala itu, pengguna komersil dan industri daripada sektor yang lain akan menikmati diskaun sebanyak 2 % selama enam bulan dan memberi manfaat kepada lebh 99,000 pengguna.

Sementara itu, sejumlah 16,000 pengguna di bawah program Rebat Elektrik RM40 akan terus menikmati manfaat daripada rebat tersebut.

Diskaun bil elektrik ini adalah sebahagian daripada Pakej Ransangan Ekonomi yang diumumkan kerajaan bagi mengurangkan impak kesan oleh wabak Covid-19. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *