Pelajar Langgar Perintah ‘Home Quarantine’ Akan Dimasukkan Ke Pusat Kuarantin

KOTA KINBALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengingatkan pelajar-pelajar yang baru pulang ke Sabah supaya tidak melanggar perintah menjalani kuarantin di rumah selama tempoh 14 hari.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, mana-mana pelajar yang didapati melanggar perintah ini akan dimasukkan ke Pusat Kuarantin untuk pemantauan.

“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (342) iaitu boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, JKNS menerima maklumat dari beberapa Pejabat Kesihatan bahawa terdapat segelintir pelajar yang telah memilih untuk dikuarantin di Pusat Kuarantin selama 14 hari.

Katanya, pelajar-pelajar ini faham akan risiko terhadap ahli keluarga mereka yang terdiri daripada golongan berisiko seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

Menurutnya, JKNS amat menghargai keputusan yang dibuat oleh pelajar-pelajar ini kerana sanggup sama-sama memikul tanggungjawab yang berat ini.

“JKNS juga mendapati pihak daerah komited dalam memastikan sepanjang pergerakan pelajar balik ke kampung halaman dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Setiap pelajar yang merentasi sempadan dinilai semula kesesuaian Home Quarantine dan saringan gejala bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

“Sekali lagi JKNS ingin mengingatkan semua pelajar yang menjalani Home Quarantine untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan penuh kesedaran demi melindungi keluarga yang tercinta,” ujarnya.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *