ESSCOM Nafi Lima Mangsa Culik Warga Indonesia Ditahan ‘Orang Tengah’

Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengesahkan lima nelayan warga Indonesia masih dalam tawanan kumpulan penculik di Selatan Filipina.

Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata demikian sekali gus menafikan laporan sebuah akhbar tempatan bahawa mangsa kini ditahan ‘orang tengah’ yang menjadi perunding antara kumpulan penculik dan keluarga mangsa.

“Tidak betul (laporan akhbar) kerana ketika ini, mangsa masih dengan kumpulan penculik.

“Saya tidak menolak mungkin ada pihak yang mengambil kesempatan menjadi orang tengah antara kumpulan penculik dengan keluarga mangsa,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Terdahulu sebuah media melaporkan mangsa Arsyad Dahlan, 41; La Baa, 32; Riswanto Hayano, 27; Edi Lawalopo, 53, dan Syarizal Kastamiran, 29, sudah dibebaskan oleh kumpulan penculik melalui rundingan.

Bagaimanapun, semua mangsa kini ‘ditahan’ oleh ‘orang tengah’ bertujuan meminta bayaran lebih.

Ketika ditanya mengenai mangsa yang kini seolah-olah menjadi mangsa pemerdagangan manusia antara kumpulan penculik di Selatan Filipina, Hazani berkata, aktiviti penculikan itu sudah menunjukkan tujuan mendapatkan wang.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat sekurang-kurangnya lima ketua yang memimpin kumpulan penculikan di Selatan Filipina dan ia boleh berubah berdasarkan persefahaman serta kepentingan kerjasama antara mereka.

“Modus operandi mereka seperti pemainan kucing dan tikus, jika ada peluang serta mangsa, mereka bertindak,” katanya.

Pada 17 Januari lalu, semua nelayan warga Indonesia yang bekerja dengan syarikat perikanan dari Sandakan, diculik di perairan Tambisan, Lahad Datu.

Kemudian, kumpulan penculik meminta wang tebusan antara RM3 juta sehingga RM4 juta bagi pembebasan semua mangsa.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *