ESSCOM Kenal Pasti Lima Dalang Kumpulan Penculikan

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengenal pasti sekurang-kurangnya lima individu yang mengetuai kumpulan penculikan dari Selatan Filipina yang merentas sempadan Malaysia-Filipina untuk melakukan jenayah penculikan.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, kewujudan kumpulan penculik ini sentiasa berubah-ubah dan jumlahnya tidak menentu kerana sesuatu kumpulan itu boleh menyertai kumpulan lain berdasarkan ‘persefahaman’ mereka.

Menurutnya, ESSCOM sentiasa memantau dan memperketatkan kawalan sempadan perairan dan daratan bagi menangani jenayah rentas sempadan daripada terus berlaku di negeri ini khususnya di pantai timur Sabah.

“ESSCOM sudah mengenal pasti ‘laluan-laluan tikus’ yang biasanya digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memasuki negara ini secara haram.

“Semua laluan-laluan tikus itu dipantau secara berterusan supaya tiada PATI yang terlepas dan mengambil kesempatan untuk memasuki negara ini secara haram” katanya dalam sidang media, di Lahad Datu, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan makanan dan peralatan sekatan jalan raya (SJR) kepada ketua-ketua polis daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Sementara itu, Hazani berkata lima nelayan warga Indonesia yang diculik di perairan Tambisan, Tungku pada Januari lalu masih berada dalam tahanan kumpulan penculik yang sama, sekali gus menafikan semua mangsa diserahkan kepada orang tengah di Jolo, Selatan Filipina.

Lima mangsa culik itu, dikenali sebagai Arsyad Dahlan, 41; La Baa, 32; Riswanto Hayano, 27; Edi Lawalopo 53 dan Syarizal Kastamiran.- Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *