COVID-19: Tambahan 14 Hari Kuarantin Pelajar Balik Ke Sabah Elak Dijangkiti

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan Sabah mengenakan kuarantin selama 14 hari lagi terhadap pelajar Semenanjung yang mahu pulang ke kampung halaman dilihat bagi memastikan mereka tidak dijangkiti wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata walaupun pelajar terbabit dikatakan dikuarantin dalam asrama selama tempoh empat minggu, pihaknya mendapati ada antara mereka yang mempunyai pergaulan dengan mereka yang berada di luar.

“Walaupun kita kata mereka dikuarantinkan dalam asrama empat minggu tetapi kita dapati ada antara mereka mempunyai pergaulan dengan mereka yang berada di luar.

“Itu antara sebab mengapa mereka perlu disaring semula,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian apabila ditanya mengenai keputusan Kerajaan Sabah itu yang membabitkan pelajar Semenanjung yang kini belajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah.

Minggu lalu, portal berita FMT melaporkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) meminta kerajaan Sabah mempertimbangkan semula keperluan kuarantin tambahan 14 hari terhadap penuntut UMS yang sudah menjalani kuarantin di kampus.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri dilaporkan berkata tindakan itu akan menyebabkan pelajar terkandas lebih lama walaupun prosedur operasi standard (SOP) penghantaran pulang pelajar yang disediakan Kementerian Pengajian Tinggi sudah amat teliti dan diluluskan Majlis Keselamatan Negara.

Laporan sama juga menyebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Dr Raman Noordin berkata pelajar UMS perlu memenuhi kriteria itu, yang juga sebahagian daripada prosedur disyorkan Jabatan Kesihatan Sabah kepada Pusat Arahan COVID-19 Sabah bagi membendung wabak itu.- Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *