Tiada Aktiviti Sukan Dibenarkan Di Sabah Sehingga PKP Tamat

KOTA KINABALU: Tiada sebarang aktiviti sukan dibenarkan di Sabah susulan keputusan kerajaan negeri untuk tidak melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Belia & Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, tiada aktiviti sukan dalaman mahupun luaran akan dibenarkan selagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa sehingga 12 Mei ini.

Maka, aktiviti berjoging, berbasikal, bermain tenis mahupun badminton tidak akan dibenarkan.

Oleh itu, orang ramai diingatkan supaya kekal berada di rumah dan mematuhi arahan PKP yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Beliau berkata, banyak pertanyaan diterima mengenai kebenaran melakukan aktiviti sukan luaran.

“Dengan penerangan ini diharap semua orang memahami dengan jelas bahawa aktiviti sukan tidak dibenarkan.

“Seperti dimaklumkan Ketua Menteri, langkah mematuhi PKP ini penting dalam memastikan rantaian jangkitan Covid-19 di Sabah dapat diputuskan.

“Saya yakin bahawa keputusan yang dibuat kerajaan negeri ini adalah tindakan yang tepat demi kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook page miliknya, di sini hari ini.

Phoong berkata, Ketua Menteri memaklumkan bahawa keputusan ini bukan sesuatu yang mudah namun, ia adalah satu keputusan yang tepat.

Diharap rakyat Sabah dapat menerima keputusan kerajaan ini dengan sebaiknya.- BorneoToday

1136