COVID-19: Kes Pulih Hampir 70 Peratus

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 39 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 4,210 kes, iaitu 69.3 peratus daripada keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagaimanapun terdapat 69 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,071 kes.

Katanya, 12 daripada 69 kes adalah import, manakala penularan tempatan adalah 57 kes, selain jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,758 kes.

“Seramai 37 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 14 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatifnya adalah sebanyak 103 kes atau 1.69 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-103 (kes ke-5441) adalah lelaki tempatan berusia 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (iaitu kes ke-4818).

“Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 14 April lalu dan disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang semalam,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.- BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *