‘Clubbing’, Hiburan & Perhimpunan Awam Masih Dilarang

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Semua perniagaan berbentuk hiburan seperti panggung wayang, karaoke, pusat hiburan, kelab malam dan taman tema serta perniagaan yang melibatkan orang ramai atau bersentuhan antaranya bazar Ramadan, bazar aidilfitri, karnival jualan dan pusat refleksologi masih tidak dibenarkan beroperasi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, larangan pengoperasian semua aktiviti perniagaan tersebut adalah untuk memastikan penularan wabak Covid-19 dapat diteruskan.

Katanya, selain itu, sebahagian besar aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi bermula 4 Mei atas syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

“Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran,” katanya.

Perdana Menteri berkata, aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai seperti sukan bola sepak, ragbi, renang serta semua acara sukan tertutup atau di stadium turut tidak dibenarkan diadakan.

Bagaimanapun katanya, masyarakat kini boleh bersenam dalam kumpulan tidak melebihi 10 orang dengan syarat penjarakkan sosial diamalkan untuk mengelakkan sentuhan badan.

“Selain perniagaan, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan. Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium. Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan.

“Jadi, saudara-saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton. Jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan,” katanya.

Jelas beliau, semua aktiviti keagamaan termasuak solat Jumaat, majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan juga dilarang.

Bagi yang menyambut Aidilfitri, mereka juga tidak dibenarkan balik ke kampung. – BorneoToday

618