Rugi Ditipu ‘Rakan Lama’

Habibi Majinji

KOTA KINABALU: Sebanyak 11 laporan polis diterima berhubung kegiatan penipuan seorang individu, di sini, yang menyamar sebagai rakan mangsa.

Laporan berkenaan diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sejak Mac lalu membabitkan kerugian sebanyak RM109,400.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

“Berdasarkan siasatan mendapati, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai rakannya.

“Individu terbabit seterusnya menyatakan ingin meminjam sejumlah wang daripada mangsa dengan alasan kehilangan telefon dan dompet,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, bagaimanapun, sebaik memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan, mangsa kemudiannya gagal menghubungi semula individu berkenaan.

Katanya, mangsa menyedari ditipu selepas menghubungi rakan sebenarnya yang menafikan ada berbuat demikian.

“Sejak kebelakangan ini, pelbagai helah digunakan antaranya seperti macau scam, tipu peraduan boost, pinjaman tipu wujud, lembelian ‘online’ dan sebagainya.

“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih bijak dan berhati-hati dengan segala kemudahan media sosial ketika ini,” katanya.

Habibi berkata, orang ramai juga boleh membuat pengesahan akaun yang diberikan penjenayah atau scammer kes penipuan menerusi laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

Katanya, sebarang kemusykilan berkenaan panggilan scam juga boleh berhubung terus dengan polis ditalian 088-230 182 atau Hotline IPD Kota Kinabalu 088-529 220. – Berita Sabah

1471