COVID-19: Penjara Sabah Berjaya Hasilkan 17,000 Set PPE

Antara banduan Penjara Kota Kinabalu yang mengambil bahagian menjahit PPE untuk kegunaan petugas kesihatan hospital di seluruh Sabah bagi menangani COVID-19. – Gambar BERNAMA

KOTA KINABALU: Sebanyak 17,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) berjaya dihasilkan penghuni penjara di Sabah untuk kegunaan petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit COVID-19 di negeri ini.

Pengarah Penjara Sabah dan Labuan Datuk Suria Idris berkata seramai 130 penghuni penjara di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, dan Labuan terlibat dalam penghasilan set PPE berkenaan.

“Kita telah menerima tempahan menjahit sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesemua PPE berkenaan dijahit penghuni penjara yang mengikuti bengkel jahitan,” katanya kepada pemberita selepas menerima bahan-bahan jahitan PPE daripada syarikat Kumpulan BTC Bhd di sini hari ini.

Ia disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan BTC Berhad Datuk Abdul Kadir ME Sikkandar kepada Suria dan disaksikan Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

Sementara itu, Dr Christina menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang bahan jahitan serta banduan yang terlibat menjahit PPE berkenaan.

“Saya berharap akan ada lebih banyak lagi pihak di luar sana berbesar hati untuk membantu para barisan hadapan khususnya petugas kesihatan dalam usaha menangani COVID-19,” katanya.

Sementara itu, seorang penghuni penjara Kota Kinabalu yang terlibat menjahit PPE berkata setiap hari mereka mampu menjahit sehingga 400 hingga 500 set PPE.

“Kami di sini gembira dan bersyukur kerana dapat membantu petugas kesihatan yang bertungkus-lumus menghadapi COVID-19 di luar sana. Sebelum ini saya pernah membuat kesalahan dan saya amat terharu kerana kini dapat membuat sedikit kebaikan.

“Oleh itu kami di sini berterima kasih kepada semua pihak khususnya kepada pengarah penjara yang memberi peluang kepada kami untuk sama-sama berbakti dalam usaha menangani penularan COVID-19 di negeri ini,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *