PKP: Sabah Belum Laksana Kebenaran Dua Orang Dalam Satu Kenderaan

KOTA KINABALU, 29 April: Kerajaan Sabah belum membuat keputusan untuk membenarkan pergerakan dua orang dalam satu kenderaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepertimana yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan hari ini

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan itu perlu diperinci dan dibincangkan terlebih dahulu dalam Pusat Arahan COVID-19 Sabah sebelum ia dilaksana di peringkat negeri ini.

“Kita perlu mengkaji kesannya terlebih dahulu. Sekiranya ia boleh dilaksana tanpa ada kesan buruk yang timbul kita akan laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan pakar perubatan daripada China di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata pergerakan dua orang dalam satu kenderaan hanya diberikan untuk tujuan tertentu khususnya dalam perkhidmatan yang dibenarkan sahaja.

Kerajaan Persekutuan hari ini memutuskan untuk memberi sedikit kelonggaran bagi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam PKP fasa keempat dengan membenarkan dua orang bergerak dalam satu kenderaan bermula hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka perlu terdiri daripada ahli keluarga daripada rumah yang sama, dan pergerakan itu bagi membeli makanan dan barang keperluan harian.

SumbeR: BERNAMA

29610