Alasan Tidak Munasabah, Pesara Kerajaan Antara Enam Ditahan

Enam individu termasuk pesara yang ditahan selepas gagal memberikan alasan munasabah di Beaufort.

BEAUFORT: Enam individu termasuk pesara di sebuah jabatan kerajaan ditahan polis selepas gagal memberikan alasan munasabah untuk keluar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuat kuasa.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kesemua mereka didapati bergerak keluar dari kediaman masing-masing dan berada di kawasan awam tanpa alasan kukuh.

“Antara alasan yang diberikan semasa disoal anggota polis yang menjalankan pemeriksaan adalah berpusing-pusing di kawasan pekan sebelum balik ke rumah, cari ikan untuk sahur, pergi ke rumah ibu saudara, mengisi air di mesin air serta keluar kerana ingin berjumpa rakan.

“Kesemua suspek berumur 37 hingga 61 tahun itu mengakui tahu akan implikasi jika melanggar PKP dan mereka tetap keluar dari rumah tanpa sebab munasabah,” katanya.

Beliau berkata kesemua mereka didapati melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit)(No.3) 2020 dan kesalahan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan apa-apa penyakit berbahaya pada nyawa kesihatan dan keselamatan manusia.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan tiga termasuk warga asing ditahan di beberapa lokasi termasuk Papar, Kinarut dan Bongawan kerana mengingkari arahan PKP.

 Tiga termasuk warga asing ditahan di beberapa kawasan di Papar selepas mengingkari PKP.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, kesemua suspek berumur 20 hingga 40-an itu ditahan untuk disiasat mengikut seksyen sama.

Beliau juga menasihatkan penduduk sekitar daerah itu agar tidak mengingkari arahan PKP bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas daripada pihak polis selain bersama-sama memutuskan rantaian penularan COVID-19. – Utusan Borneo

1865