Lelaki Filipina Ditahan Cuba Seludup Barang Kawalan

SANDAKAN: Hasrat seorang lelaki warga Filipina membawa keluar barang kawalan tanpa permit gagal apabila ditahan pihak berkuasa di perairan Inner Bouy Pulau Berhala, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan melakukan rondaan Op Covid 19 di kawasan terbabit sebelum terserempak dengan sebuat bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata pemeriksaan mendapati bot terbabit dikendalikan juragan berusia 48 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot menemui 150 bungkus minyak masak, 50 bungkus gula kasar dan 30 kotak tepung gandum serta pelbagai barang runcit.

“Juragan terbabit gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas semua barang kawalan yang dibawa.

“Suspek dan barang rampasan termasuk bot dibawa ke pangkalan PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM54,083.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama peraturan-peraturan kawalan bekalan. – BorneoToday

2253