Belalai Air Muncul Di Perairan Batu Sapi

SANDAKAN: Penduduk di Kampung Bokara, awal pagi tadi dikejutkan dengan fenomena belalai air yang merentasi perairan Batu Sapi.

Penduduk mendakwa fenomena dipercayai berlaku kira-kira pukul 1 pagi dengan kejadian terbabit yang dirakam orang awam turut tular di media sosial hari ini.

Seorang penduduk Kampung Bokara, Rozalin Hashim, berkata beliau masih berjaga ketika kejadian itu dan menyangka bunyi deruan yang didengar cuma angin biasa.

“Saya cuma tahu apabila anak beritahu dan lihat gambar puting beliung yang dikongsi menerusi WhatsApp.

“Kalau tak silap, ini kejadian pertama belalai air di Batu Sapi. Syukur sebab tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya sambil memberitahu fenomena itu berlangsung kira-kira 15 minit.

Sementara itu, Pengarah Meteorologi Sabah, Amirzudi Hashim, berkata Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah yang beroperasi 24 jam tidak menerima sebarang laporan rasmi daripada orang awam mengenai kejadian itu.

Jika berdasarkan gambar yang tular, katanya, ia adalah cuaca biasa yang dipanggil awan corong.

“Awan yang berbentuk corong itu sebenarnya adalah titisan air dalam pusaran udara. Apabila udara berpusar menaik, udara hangat menyejuk dan kondensasi wap air berlaku lalu membentuk corong awan.

“Corong awan biasanya terbentuk daripada awam kumulonimbus atau kumulus dan tidak mencecah tanah.

“Biasanya ia berlaku pada masa singkat dan tidak berbahaya melainkan jika ia mencecah tanah,” katanya.

Amirzudi bagaimanapun menasihatkan orang ramai terutama nelayan agar menghindari belalai air kerana boleh menyebabkan kejadian angin kencang. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *