Covid-19: Kes Positif Dijangka Turun Satu Digit Pertengahan Mei

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Kes positif baharu Covid-19 dijangka turun kepada satu digit pada pertengahan Mei depan berbanding ketika ini yang menunjukkan trend dua digit.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkaan itu berdasarkan unjuran kes Covid-19 di negara ini yang kini memasuki fasa pemulihan.

Bagaimanapun, katanya, jangkaan itu hanya akan berjaya dicapai jika orang ramai memberikan kerjasama terus kekal berada di rumah selain menjaga kebersihan diri dan penjarakan sosial ketika di tempat awam.

“Sekarang ini kita rekodkan dua digit, tetapi KKM percaya dalam tempoh seminggu dua lagi, atau pertengahan Mei, kes baharu Covid-19 akan turun sehingga satu angka.

“Tetapi kita kena amalkan kebiasaan baharu dan terus duduk di rumah, sekali gus menurunkan kadar kes kebolehjangkitan kepada hanya 1,000 atau 500 kes saja,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas negara jiran iaitu Thailand yang merekodkan satu digit kes baharu Covid-19 pada hari kedua berturut-turut walaupun mula dilanda wabak itu hampir sama tempoh dengan Malaysia selain turut mempunyai penduduk lebih ramai.

“Thailand mempunyai jumlah penduduk yang lebih ramai iaitu lebih dua kali ganda berbanding Malaysia.

“Namun Thailand tidak mempunyai sejarah perhimpunan jemaah tabligh yang sehingga kini mewakili hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes penularan Covid-19 di Malaysia.

“Kita lewat sembilan hingga 10 hari dalam mengesan kes jemaah tabligh, apabila rakan sejawatan saya di Brunei memaklumkan mengenai perkara ini pada 9 Mac, manakala perhimpunan itu berlaku pada 1 Mac,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh kelewatan berkenaan, kes sudah merebak ke kampung dan mukim tanpa kawalan.

SumbeR: Harian Metro

898