Mengaku Faham Tapi Tetap Ingkar

Tiga sekeluarga yang ditahan kerana ingkar arahan PKP.

BEAUFORT: Mengaku faham arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun tetap ingkar dengan keluar rumah lebih daripada seorang untuk membeli barang keperluan.

Itu pengakuan lima individu daripada dua keluarga yang ditahan polis selepas didapati melanggar arahan PKP dalam pemeriksaan di Jalan Padas Utama, Beaufort, semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kes pertama membabitkan tiga sekeluarga yang ditahan jam 12.40 tengah hari.

Katanya, tiga sekeluarga berusia 25 hingga 52 tahun mengaku keluar bersama untuk membeli barangan dapur di sebuah pasar raya di pekan ini.

“Ketiga-tiga mereka mengaku faham implikasi melanggar PKP dan mereka kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam kes berasingan jam 12 tengah hari sebelum itu, lelaki berusia 38 tahun ditahan bersama anak perempuannya berusia 15 tahun.

“Lelaki itu mengaku faham akan implikasi melanggar PKP namun tetap keluar lebih dari seorang untuk mendapatkan barang keperluan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, kedua-dua keluarga itu ditahan dan disiasat mengikut Peraturan 4(1)(a)(ii) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

Katanya, orang ramai perlu sedar kesan melanggar arahan PKP kerana ia membabitkan kepentingan awam.

“Arahan ini dikuatkuasakan dalam usaha kita untuk memerangi penularan wabak Covid-19.

“Oleh itu, kita minta orang ramai di daerah ini beri kerjasama supaya sentiasa patuhi arahan PKP dan polis bertindak tegas menangkap mereka yang ingkar,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *