Hanya Penyokong Warisan Terima Bantuan Adalah Fitnah Biasa PBS

Anita Baranting

KOTA KINABALU: Usaha murni Kerajaan Sabah menyediakn pelbagai bantuan untuk setiap rakyat Sabah yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa mengira latar belakang termasuk fahaman politik nampaknya tidak langsung dihargai oleh pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS).

Lebih-lebih lagi, ketika semua pihak bersatu hati memastikan rakyat yang susah mendapat bantuan, Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut sebaliknya lebih gemar untuk terus berpolitik dan menimbulkan perasaan benci dalam kalangan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Datuk Anita Baranting berkata, kenyataan pemimpin muda itu yang mendakwa hanya penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mendapat bantuan daripada kerajaan negeri menunjukkan wajah sebenar PBS yang suka menabur fitnah walaupun ketika negara sedang dilanda bencana.

CHRISTOPHER MANDUT

Anita berkata, sejak hari pertama PKP pada 18 Mac lalu, bantuan makanan telah dihantar kepada golongan sasar melalui pemimpin akar umbi seperti ketua kampung dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) kerana mereka lebih mengetahui mana-mana keluarga yang memerlukannya.

“Tuduhan itu biasalah mereka memang suka memanipulasi itu kerja pihak di sana, tujuan utama mereka mahu burukkan kerajaan sahaja.

“Kami tidak pilih bulu siapa yang dapat bantuan, golongan yang memerlukan semuanya dapat kerana itulah tujuan utama bantuan disediakan oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi Borneo Today hari ini.

Katanya, bantuan yang diberikan dibahagikan kepada beberapa fasa iaitu yang pertama keutamaan adalah kepada keluarga miskin dan miskin tegar, ibu tunggal, anak-anak yatim dan orang kurang upaya.

Selepas itu katanya, bantuan difokuskan kepada semua ketua isi rumah (KIR) yang terjejas agar objektif utama bantuan disediakan mencapai sasaran.

Anita berkata, tidak dinafikan PBS turut memberikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan walaupun tidak seramai penerima bantuan kerajaan negeri, namun usaha murni parti itu tidak pernah dipersoalkan oleh pemimpin kerajaan.

Sehubungan itu katanya, amat melampau apabila pemimpin muda seperti Christopher mengeluarkan kenyataan berunsur tuduhan yang hanya bermotifkan politik semata-mata.

Sementara itu, Ketua Warisan Bahagian Kota Marudu, Majamis Timbong berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah mempunyai maklumat setiap penerima kerana bantuan disalurkan melalui pejabat daerah yang mempunyai data lengkap penduduk.

MAJAMIS TIMBONG

Menurut beliau, PKOB turut diwakili agensi Kerajaan Pusat, justeru tiada asas untuk membuay tuduhan bantuan diserahkan secara pilih kasih.

“Kalau Setiausaha Politik menteri mahu buat tuduhan sila dapatkan data penerima daripada pejabat daerah kerana semuanya ada di situ.

“Apa gunanya pemimpin akar umbi seperti UPPM bekerja keras hantar bantuan kepada rakyat di pedalaman jika akhirnya usaha mereka tidak dihargai, malah tuduhan melulu dibuat,” katanya.

Katanya, Warisan juga mempunyai maklumat mengenai bantuan yang diserahkan PBS untuk memastikan tiada yang mendapat lebih.

Jelasnya, jika sesebuah keluarga sudah menerima bantuan, keluarga yang belum mendapat apa-apa akan diutamakan.

“Mungkin sebab itulah dia cakap kita pilih kasih sedangkan kita mahu semua rakyat menerima sama rata.

“Kita tidak mahu berlaku pertindihan kerana masih ramai golongan yang memerlukan,” tegas beliau.

Tambahnya, 2,000 pakej bantuan telah diserahkan minggu ini manakala 2,000 lagi akan diserahkan minggu depan dan secara keseluruhan, 14,000 penerima telah mendapat manfaat bantuan makanan daripada kerajaan.- BorneoToday

964