KOTA KINABALU: Sebanyak 3,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari Sabah yang belajar di Semenanjung dijangka pulang ke rumah masing-masing bermula 1 Mei ini.
Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, jumlah tersebut meliputi pelajar IPT awam dan swasta.
Katanya, kesemua pelajar akan dikecualikan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin kerana mereka dilaporkan sihat dan telah menjalani kuarantin selama satu bulan di kampus, namun pihaknya tetap akan merujuk keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai hal tersebut.
“Mengikut keputusan mereka ini sebenarnya yang sihat, sudah dikuarantin di tempat masing-masing selama lebih kurang sebulan dan mereka dilaporkan sihat.
“Bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tetapi apa yang saya difahamkan, oleh kerana mereka ini sihat, apabila mereka tiba di Sabah nanti mereka akan dikecualikan masuk ke kuarantin dan terus ke pangkuan keluarga masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Juadah Berbuka Puasa kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, pelajar tersebut tetap akan menjalani saringan gejala Covid-19 terlebih dahulu bagi memastikan mereka benar-benar selamat untuk kembali ke pangkuan keluarga mereka.
Susulan pengumuman lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga hingga 28 April pada 10 April lalu, beberapa persatuan mahasiswa menggesa kerajaan membenarkan penuntut yang masih berada di kampus pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat.
Justeru, pada Selasa lalu, kerajaan telah membenarkan kira-kira 100,000 pelajar IPT awam dan swasta di seluruh negara yang berada di kampus untuk pulang ke rumah masing-masing.
Mengulas lanjut, Yusof berkata, apabila tiba di lapangan terbang, pelajar akan diambil dengan bas dan terus dibawa ke daerah masing-masing serta dihantar ke balai polis sebelum dihantar terus ke rumah.
Tambahnya, pelajar yang memiliki kenderaan sendiri juga dibenarkan memandu pulang dengan syarat mereka hanya memandu seorang sahaja.
“Lebih mudah jika kita atur bas untuk pelajar yang mempunyai satu laluan misalnya pelajar-pelajar yang berada di satu laluan dari Papar, Kimanis, Membakut, Beaufort, Sipitang, kemudian ke utara, yang ke Kota Belud, Tuaran, Tenghilan, Kota Marudu, Kudat… begitu juga dengan ke Ranau dan yang lain-lain.
“Jadi kita susun sedemikian untuk meminumkan kesesakan, inilah logistik perancangan yang kita akan laksanakan,” jelasnya. – BorneoToday