12 Lagi Ditahan Ingkar PKP Di Lahad Datu

PKP Di Jalan Lahad Datu – Gambar Arkib

LAHAD DATU: Sebanyak lapan kertas siasatan dibuka melibatkan 12 individu berumur 19 hingga 49 tahun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata 12 individu yang terdiri 9 lelaki dan 3 perempuan iaitu 9 daripadanya warganegara dan 3 lagi warga asing ditahan di lokasi berbeza pada 22 hingga 24 April.

“Mereka yang ditangkap telah memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah dan mereka ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Nasri antara alasan yang diberikan termasuklah keluar untuk membeli rokok, baharu balik dari jamuan makan, baharu balik dari melepak di rumah kawan dan minum minuman keras di tempat awam.

Katanya, terdapat juga kes sepasang suami isteri yang ditahan memberikan alasan berbincang masalah rumah tangga di dalam kenderaan kerana di rumah ada keluarga lain yang tinggal.

“Selain itu, dikesan juga pesalah yang melanggar syarat pergerakan dalam PKP dengan membawa penumpang di dalam kenderaan semasa hendak membeli barang keperluan,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Paraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020.- Utusan Borneo

1687