Guru Luar bandar, Pedalaman Sabah Berdepan Cabaran Pastikan Kelancaran PdPc Dalam Talian

SEMPORNA, 25 April: Warga pendidik, khususnya yang mengajar di sekolah luar bandar dan pedalaman berhampiran daerah ini, berdepan cabaran untuk memastikan sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam talian berjalan lancar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini kerana terdapat beberapa pelajar mereka terutama yang tinggal di kawasan pulau dan ladang tidak mempunyai capaian internet yang efisien selain kekangan kemudahan teknologi seperti komputer, telefon pintar atau peranti mudah alih lain yang boleh memudahkan proses penyampaian sesi PdPc dalam talian.

Seorang guru Aslina Ali, 33, yang mengajar mata pelajaran Geografi di sebuah sekolah menengah kira-kira 10 kilometer dari pekan daerah ini berkata ada dalam kalangan pelajarnya yang tinggal di ladang terpaksa mengambil masa tiga ke empat hari bagi menghantar tugasan.

Menyesuaikan pembelajaran dengan kekangan itu, Aslina memberi masa selama seminggu untuk pelajar menyiapkan tugasan sebelum beliau membuat semakan pada Sabtu dan Ahad.

“Saya juga meminta pertolongan daripada pelajar dalam kumpulan WhatsApp kelas untuk memaklumkan tugasan sekolah kepada rakan yang tinggal berhampiran, yang tidak mempunyai kemudahan telefon pintar atau tidak dapat mengakses internet.

Selain kekangan dari pihak pelajar, Aslina turut mengalami masalah capaian internet rendah ketika  memuat naik pautan tugasan untuk lebih 200 pelajar yang dikendalikannya dalam sesi PdPc.

Meskipun begitu, Aslina terus komited menjalankan sesi PdPc dalam talian menggunakan pelbagai  aplikasi  dalam sesi PdPC termasuk WhatsApp, Telegram dan Google Classroom.

Pengalaman sama turut dikongsikan oleh Nur Faraheka Abdullah, 28, seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah dalam ladang di Lahad Datu, kira-kira 89 kilometer dari Bandar Lahad Datu.

“Jadi, saya menelefon murid terbabit untuk memaklumkan tugasan sekolah berdasarkan buku teks. Bagi murid sebegini, saya akan menyemak tugasan mereka selepas sesi persekolahan dibuka nanti.

Seorang lagi guru, Siti Aminah Amir, 28, yang mengajar mata pelajar Pendidikan Islam di sebuah sekolah rendah terletak di pedalaman Kunak berkata, penglibatan murid dalam sesi PdPC dikendalikannya amat terhad berikutan tidak semua mereka mempunyai akses internet.

Siti Aminah berkata beliau menggunakan sistem pesanan ringkas untuk memberi tugasan kepada murid-muridnya menggunakan buku latihan serta buku teks sebagai rujukan .

BERNAMA

877