Parlimen Sandakan Akan Terus Bantu Golongan Memerlukan

Vivian Wong Shir Yee

SANDAKAN: Parlimen Sandakan akan terus berusaha memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan tidak bernasib baik untuk mereka mengatasi tempoh sukar ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa ke-4.

Ahli Parlimennya, Vivian Wong Shir Yee, berkata, pihaknya juga sangat memahami kesukaran semasa yang dihadapi oleh semua lapisan masyarakat di daerah ini.

Ia termasuk menghadapi kesesakan lalu lintas semasa pergi bekerja, peniaga yang menghadapi prospek ekonomi yang tidak menentu, ibu bapa dan guru menghadapi masalah kemajuan pembelajaran anak-anak dan para pekerja yang nenghadapi masalah mereka tersendiri.

Manakala, kebimbangan terbesar adalah penyebaran dan kawalan wabak COVID-19 yang mana wabak pandemik ini juga adalah perkara yang tidak disangka.

“Walaupun kita tidak dapat melakukan dengan sempurna untuk membantu semua orang, tetapi kita tetap akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu orang ramai,” jelasnya.

Beliau juga menyeru kepada masyarakat Sandakan yang ingin bertanya mengenai pelbagai faedah disediakan Kerajaan Negeri Sabah seperti potongan cukai rumah dan cukai tanah, potongan bil elektrik isi rumah selama tiga bulan, pengecualian bil air isi rumah selama tiga bulan, pengecualian sewa PPR selama enam bulan dan lain-lain, untuk menghubungi Pejabat Parlimen Sandakan.

Vivian menyatakan demikian dalam satu kenyataan di Sandakan selepas beliau dan pasukannya yang juga kakitangan Pejabat Parlimen Sandakan mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk yang tinggal di beberapa kawasan kampung, rumah kos rendah dan taman perumahan dalam kawasan Parlimen Sandakan.

Antara bantuan makanan yang diberikan termasuk roti, mee kering, kicap, ikan, sayur dan lain-lain.

Para penerima terdiri daripada penghuni yang tinggal di Batu 3½, Kampung Sim-Sim, PPR Taman Harmoni, Taman Matahari, International Flat, Rumah Wargatua Sri Harapan Sandakan di Sibuga, Rumah Orang Buta Taman Cahaya di Batu 14 dan rumah anak yatim.

Dalam masa yang sama, Vivian juga mengucapkan terima kasih kepada Kim Teck Cheong dan beberapa orang dermawan serta institusi yang baik hati menyumbang untuk membantu keluarga berpendapatan rendah dan golongan kurang bernasib baik di kawasan Sandakan dalam usaha sama-sama menolong mereka bertahan dalam tempoh yang sukar ini.

Sementara itu, Vivian berkata dalam masa kritikal ini, beliau berharap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dapat menunaikan janji beliau untuk memberikan 1,000 bungkusan bantuan kepada setiap kawasan parlimen secepat mungkin agar anggota parlimen dapat mengagihkan bekalan pertolongan itu kepada golongan berpendapatan rendah dan mereka yang memerlukan.

Katanya, ketika ini PKP yang telah memasuk hari ke-38 (Jumaat), ini adalah masa bagi Menteri Persekutuan menunjukkan sedikit kecekapan dan semangat berorientasi rakyat untuk membantu rakyat mengatasi kesukaran dan bukannya terus memberi fokus atau bermain politik.

SumbeR: Utusan Borneo

1841