Covid-19: Kes Aktif Di Sabah Menurun, Kini Sebanyak 98

KOTA KINABALU: Jumlah kes aktif Covid-19 di Sabah menurun dua kes, hari ini, iaitu sebanyak 98 berbanding 102 kes, semalam.

Ini selepas enam lagi pesakit jangkitan wabak itu dilaporkan telah sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh dan discaj seramai 209 orang.

Selain itu jumlah kes Covid-19 yang dirawat semula juga berkurangan daripada enam kes semalam kepada dua kes, hari ini.

Statistik terbaharu itu dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, hari ini.

Jika berdasarkan kes aktif, Tawau menjadi daerah paling banyak iaitu 21 kes disusuli Kota Kinabalu sebanyak 18 kes dan Keningau dengan jumlah 16 kes.

Jika berdasarkan kes aktif juga, belum ada daerah yang dikategori sebagai zon merah di Sabah, setakat ini.

Tawau satu-satunya daerah dikategori sebagai zon jingga kerana mencatat 21 kes aktif manakala 12 daerah lain iaitu Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tuaran, Kinabatangan, Sandakan, Keningau, Penampang, Beaufort, Putatan, Kunak, Papar, dan Ranau dikategorikan sebagai zon kuning.

Untuk rekod, kes aktif dengan jumlah 41 dan ke atas dikategorikan sebagai zon merah, 21 hingga 40 (jingga), satu hingga 20 (kuning) manakala zon hijau adalah daerah yang bebas daripada kes aktif Covid-19.

Sebanyak 13 lagi daerah di Sabah termasuk beberapa yang sebelum ini mencatatkan kes aktif Covid-19 iaitu Kota Belud, Sipitang, Tambunan dan Semporna kini dikategorikan sebagai zon hijau.

Dalam perkembangan sama, negeri ini, hari ini, mencatat pertambahan dua kes baharu iaitu di Kota Kinabalu, menjadikan jumlah kumulatif kes covid-19 di Sabah setakat ini sebanyak 311 kes.

Sementara itu, tiada kes kematian dicatatkan hari ini dengan jumlah korban akibat Covid-19 di Sabah kekal sebanyak empat kes iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan jumlah kes Covid-19 selepas Selangor yang kini mencatat 1,387 kes, Kuala Lumpur (1,115), Johor (655), Sarawak (468), dan Negeri Sembilan (433). – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *