8 Kes COVID-19 Beaufort Dari Kluster Tabligh Seri Petaling

KOTA KINABALU: Sehingga 23 April Beaufort telah melaporkan sebanyak 11 kes positif COVID-19 dan lapan daripada jumlah berkenaan berpunca dari kluster tabligh Seri Petaling.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata, kluster berkenaan terdiri daripada tiga kes yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan lima lagi adalah kontak generasi pertama. 

“Dua kes lagi yang dikesan telah menghadiri perjumpaan tabligh di Sulawesi, Indonesia. Manakala satu lagi kes merupakan kontak generasi pertama kes sporadik di Kota Kinabalu.

“Setakat ini seramai lapan orang telah sembuh, aktiviti kawalan dan pencegahan masih giat dilaksanakan oleh anggota kesihatan daerah Beaufort,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Kuala Penyu masih kekal sebagai Zon Hijau sehingga hari ini tetapi anggota kesihatan daerah berkenaan bersama-sama dengan agensi lain serta masyarakat kawasan itu terus berjuang untuk mengekalkan status Zon Hijau. 

Katanya, antara aktiviti kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan adalah saringan dan pemeriksaan kesihatan di Terminal Feri Menumbok iaitu salah satu pintu masuk ke negeri Sabah.

“Sejak 23 Mac 2020, seramai 4,321 penumpang telah disaring dan 109 sampel ujian telah diambil di mana sat kes positif COVID-19 telah berjaya dikesan.  

“Kes tersebut telah didaftarkan di daerah asal mengikut alamat semasa.  Selain itu, sebanyak 99 arahan kuarantin telah dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, aktiviti nyah cemar bersepadu oleh Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Majlis Daerah Kuala Penyu (MDKP) telah dilaksanakan melibatkan 10 kawasan tumpuan awam dan 66 buah rumah ibadat. 
 
Dalam pada itu katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin memaklumkan bahawa pada 23 April 2020, sebanyak tujuh sampel positif telah dilaporkan oleh pihak makmal. 

Daripada jumlah itu katanya, satu kes COVID-19 baru disahkan di daerah Kota Kinabalu.  Sampel selebihnya adalah sampel ulangan.  Jumlah kes COVID-19 keseluruhan bagi negeri Sabah adalah sebanyak 309 kes.

“Pihak JKNS sedang giat melaksanakan saringan bersasar di daerah Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Kota Kinabalu serta dalam kalangan petugas kesihatan,” katanya.

Christina berkata, pada 22 April 2020, hanya seorang saja yang telah ditempatkan di Pusat Kuarantin menjadikan kumulatif yang masih berada di Pusat Kuarantin seramai 503 orang. 

Katanya, seramai 101 orang telah dibenarkan pulang menjadikan kumulatif discaj kuarantin sehingga 22 April 2020 seramai 1,595 orang.

“Bilangan kumulatif mereka yang masih dalam pemantauan perintah pengawasan dan pemerhatian Home Quarantine di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sehingga 22 April 2020 adalah seramai 4,864 orang.

“Blangan kontak rapat yang telah tamat tempoh Home Quarantine adalah seramai 12,957 orang,” katanya.

SumbeR: Utusan Borneo

1680