Tubuh Jawatankuasa Pantau Projek Pembaikan Sekolah Daif Di Sabah

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pelaksanaan Sekolah-sekolah Sabah ditubuhkan bagi memastikan projek pembaikan sekolah daif di Sabah dalam dilaksana dengan lebih cepat dan efisen.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, usaha itu diambil agar projek gantian semula dan pembaikan struktur sekolah daif di negeri ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai oleh pengarah pembangunan negeri Sabah, Perbendaharaan Malaysia Sabah, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sabah  dan Pusat Pendaftaran Kontraktor-kontraktor Kerja, Bekalan dan Perkhidmatan Negeri Sabah (PUKONSA).

Cadangan penubuhan jawatankuasa ini telah dikemukakan kepada Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan yang baharu.

“Beberapa isu dibincangkan dan akan cuba diselesaikan melalui mesyuarat khas ‘task force’ di Kementerian Pelajaran dan Inovasi,” katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (BERSATU-Membakut) tentang status sekolah daif dan tidak selamat digunakan di Sabah yang telah dinaik taraf dan dibina baru pada 2019 dan 2020.

Yusof berkata, daripada 1,296 buah sekolah di Sabah, sebanyak 589 sekolah adalah sekolah daif dengan 91 sekolah diklasifikasikan sebagai daif skala tujuh, iaitu tidak selamat untuk diduduki.

Katanya, tahun lalu kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM106.7 juta untuk mengganti semula 24 sekolah daif tidak selamat. Namun baru dua sekolah sedang dibina manakala 22 sekolah lagi akan dibina sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam perancangan asal, analisis tender akan dibuat pada minggu ketiga April dan surat tawaran kerja akan dikeluarkan dua minggu kemudian setelah Jawatankuasa Tender membuat keputusan.

“Namun, proses ini tertanguh dan akan menjejaskan pelaksanaan projek secara keseluruhan kesan daripada pandemik Covid-19,” ujarnya.

Untuk tahun ini, dibawah Rolling Plan 4 (RP4), Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), 61 buah sekolah daif akan diganti semula dan diperbaiki.

Katanya, sejumlah RM445.4juta diperuntukkan bagi mengganti semula 55 buah sekolah daif dan enam sekolah lagi adalah untuk pembaikan struktur.

Bagi 84 buah projek pembaikan sekolah dibawah RP1 yang belum dimulakan akan turut dilaksana pada tahun ini. Manakala, baki 34 sekolah daif yang tidak selamat diduduki akan cuba diusulkan kepada kerajaan persekutuan bagi kelulusan peruntukan.

SumbeR: BorneoToday

868