Penduduk 15 Kampung Dapat Tanah, Sabah Bubar 1,671 Hektar Hutan Simpan

KOTA KINABALU: Lebih ramai rakyat Sabah di pedalaman akan mendapat tanah selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan pembubaran 1,671 hektar tanah daripada status hutan simpan kekal kerana mempunyai perkampungan penduduk tempatan.

Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) (Pindaan) 2020 itu diluluskan selepas dibahas dua wakil rakyat iaitu Datuk Osman Jamal (Warisan-Balung) dan Datuk Jahid Jahim (PBS-Tamparuli).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika membentangkan RUU berkenaan berkata, pindaan tersebut turut membolehkan 11 lagi kawasan hutan simpan kekal ditubuhkan di negeri ini berkeluasan 34,873.32 hektar manakala 3,166 hektar Hutan Simpan kelas II (Komersial) diubah kepada Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan).

“Perkampungan yang dikeluarkan dari kawasan hutan simpan ini akan diwartakan di bawah Ordinan Tanah (Sabah Cap. 68) bagi tujuan perkampungan, yang melibatkan 15 buah kampung terdiri daripada 574 buah rumah, dan melibatkan seramai 3,204 orang penduduk.

“Daerah-daerah yang terlibat adalah Pitas, Kota Marudu, Kota Belud, Tambunan, Sandakan, Tongod, dan Semporna serta pembubaran kawasan Hutan Simpan ini juga akan melibatkan penyediaan kawasan tanah perkuburan Islam yang baharu di daerah Tawau,” katanya.

Menurut beliau, pembubaran kawasan hutan simpan seluas lebih kurang 1,671 hektar itu tidak menunjukkan perubahan yang signifikan terhadap keluasan keseluruhan hutan simpan jika dibandingkan dengan kesejahteraan rakyat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan perkampungan yang terletak dalam kawasan terlibat.

Katanya, pembubaran itu hanya melibatkan pengurangan sebanyak 0.05 peratus daripada jumlah keseluruhan keluasan hutan simpan di Sabah.

Mohd. Shafie berkata, walaupun kerajaan membubarkan status hutan simpan untuk diberikan kepada rakyat, namun kerajaan sentiasa peka kepada tanggungjawab memelihara ekosistem, justeru sebanyak 34,873.32 hektar kawasan akan dijadikan hutan simpan yang baharu.

Jelas beliau, kawasan yang teribat ialah di Pensiangan, Nabawan, Beluran, Tenom, Kudat, Lahad Datu dan Semporna.

“Kerajaan negeri juga bercadang untuk mengkelaskan semula seluas 3,166 hektar Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan), hutan simpan yang dimaksudkan ialah Hutan Simpan Lalampas di daerah Tongod.

“Tujuan pengkelasan semula kawasan hutan simpan ini adalah bagi membentuk jaringan kawasan berhutan yang berstatus hutan perlindungan di kawasan berkenaan untuk tujuan konservasi hidupan liar serta memelihara fungsi ekosistem hutan,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *