Lelaki Tempatan Buat Laporan Polis Nafi Keluarganya Dijangkiti COVID-19

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin

SANDAKAN: Seorang lelaki tempatan membuat laporan polis bagi membuat penafian yang keluarganya dijangkiti wabak COVID-19 seperti yang ditularkan di aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata pengadu, seorang lelaki berumur 40 tahun membuat laporan bagi menafikan ahli keluarganya dijangkiti wabak COVID-19.

“Pengadu memberitahu lebih kurang jam 1.30 petang pada Ahad, sewaktu dia berada di rumah telah menerima pesanan ringkas melalui WhatsApp daripada seorang kawan yang mengatakan ahli keluarganya disyaki dijangkiti virus COVID-19,” katanya.

Beliau berkata pengadu juga mengatakan bahawa gambar keluarganya telah diposkan dalam WhatsApp yang diperolehi daripada Facebook dan tidak mengetahui siapa yang memuatkan ke dalam aplikasi WhatsApp terbabit.

“Menurut pengadu, bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, hanya pengadu saja yang keluar rumah untuk membeli belanja.

“Pengadu juga mengatakan keluarganya tidak pernah mendapatkan rawatan mana-mana klinik mahupun hospital selama PKP dilaksanakan,” katanya.

Mohd Azhar berkata pengadu buat laporan untuk buat penafian tentang apa yang kawannya maklumkan dan penafian apa yang telah ditularkan seperti dalam WhatsApp. – Utusan Borneo

1752