LABUAN: Kalangan penjaja dan peniaga kecil di sini menerima bantuan tunai RM500 dari Inisiatif Wilayah Cakna Kluster 3 yang disalurkan kepada Perbadanan Labuan.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana WP Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata, bantuan sekali serah merangkumi 1,078 penerima itu melibatkan 879 penjaja dan peniaga kecil, 90 pemandu teksi, 94 pengusaha bas dan 15 pengusaha bagang.
“Bantuan tunai ini melibatkan jumlah RM650,000,” katanya dalam sidang media semalam.
Fary yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan menjelaskan setakat ini sejumlah RM343,500 sudah diluluskan untuk 488 penjaja dan peniaga kecil melibatkan tunai RM224,000, pemandu teksi (90 -RM45,000), pengusaha bas (94 – RM47,000) dan bagang (15 – RM7500).
Menurut Fary bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank diagihkan serahan tunai manakala penerima yang memiliki akaun tidak aktif dihubungi untuk mengemukakan akaun yang aktif.
Seterusnya Fary memaklumkan pengagihan bantuan makanan kebajikan kesihatan warga Labuan turut diberikan yang melibatkan kos RM50,000 di mana setakat ini 979 kit telah diagihkan dan selebihnya diagih secara berperingkat.
Katanya, terdapat juga pengagihan bantuan Majli Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM2,684,450, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) RM121,123.09, QSR Brand – 800 pek KFC dan Pizza untuk petugas barisan hadapan bernilai RM10,000, YAPEIM ?500 kit makanan dan 200 tunai dengan kos RM25,000. – Utusan Borneo