KKM Garis Enam Kriteria Sebelum PKP Boleh Ditamatkan – KP Kesihatan

Dr Noor Hisham (kanan) semasa sidang media harian KKM berkenaan Covid-19 hari ini. Gambar Bernama

PUTRAJAYA, 21 April: Enam kriteria digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum memutuskan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh ditamatkan atau tidak, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ia merangkumi kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan norma baharu dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti.  

“Sekarang ini masih pantau data-data kita setiap hari sama ada PKP akan disambung atau tidak. Kita masih belum buat sebarang keputusan. Tetapi yang pasti kita ada enam kriteria sebelum laksanakan untuk tamat PKP,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, kemampuan kawalan sempadan penting bagi mengurangkan kebarangkalian mereka yang datang ke Malaysia membawa jangkitan. 

Katanya setakat ini, 95 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari negara lain telah membawa jangkitan itu, di mana mereka disaring dan ditempatkan di pusat kuarantin untuk rawatan lanjut. 

Daripada 95 orang, 68 orang adalah dari Indonesia, 12 dari United Kingdom, lima orang dari Singapura, empat orang dari Turki, tiga orang dari Belanda, dua orang dari Amerika Syarikat dan seorang dari Perancis. 

Dr Noor Hisham berkata kawalan pergerakan juga harus diberi perhatian supaya dapat mengelakkan jangkitan melalui satu individu kepada individu lain. 

Justeru, beliau berkata pentingnya mesej duduk di rumah supaya kebarangkalian untuk dijangkiti kurang, serta mengelakkan perhimpunan yang boleh berlaku jangkitan. 

“Kriteria ketiga adalah melihat sistem kesihatan dari segi makmal berupaya mengesan kes positif. Contoh kita gunakan Polymerase Chain Reaction (PCR) iaitu 24 hingga 48 jam. Kalau boleh kita nak kurangkan masa yang diambil untuk melaksanakan ujian PCR kurang daripada 24 jam. 

“Selain itu, kena lihat kemudahan seperti wad dan unit rawatan rapi (ICU) mencukupi. Kalau sistem kesihatan kita bagus itu adalah satu daripada indikasi sebelum kita tamatkan PKP,” katanya. 

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata juga penting pelaksanaan tindakan untuk melindungi mereka yang berisiko tinggi contohnya golongan berusia, orang kurang upaya dan mereka yang ada penyakit ‘comorbidities’. 

“Kriteria kelima ialah rakyat harus bersama dengan kita mengamalkan norma baharu contohnya penjarakan sosial, kerap cuci tangan dan elakkan perhimpunan,” katanya. 

Selain itu, katanya kriteria keenam dan juga paling penting ialah cara mengenal pasti kawasan dan juga mendapatkan komuniti bersama KKM untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan dalam komuniti tersebut. 

“Ini adalah enam kriteria, strategi ataupun rangka yang kita (KKM) ada dan rangka ini perlu diamalkan oleh setiap kementerian dan jabatan untuk melihat bagaimana kita boleh mengurangkan kesan untuk strategi keluar. Kita masih dalam peringkat perbincangan iaitu dari segi pelaksanaan,” katanya. 

BERNAMA

1696