Dr Noor Hisham Terima Kejutan Istimewa Sempena Hari Lahir

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) mengucapkan terima kasih di atas kek yang dihadiahkan oleh pengamal media sempena hari lahirnya ke-57 tahun selepas sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. Gambar Bernama

PUTRAJAYA, 21 April:  Jeneral Perang COVID-19 Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerima kejutan istimewa sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-57 hari ini daripada para pengamal media.

Dilaksanakan dalam keadaan jarak sosial dipatuhi, kejutan berlangsung sejurus selepas soalan terakhir dikemukakan ketika sidang media harian perkembangan wabak itu berlangsung di bangunan Kementerian Kesihatan di sini.

Pengamal media serta petugas KKM yang hadir menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Lahir’ serta membawakan kek bagi meraikan Ketua Pengarah Kesihatan itu, figura yang sering ditunggu kemunculannya di kaca televisyen pada 5 petang bagi mendapatkan maklumat perkembangan mutakhir COVID-19.

“Terima kasih rakyat Malaysia yang mengucapkan selamat hari lahir, kita masih dalam perjuangan untuk putuskan penularan jangkitan COVID-19. Sama-sama kita mantapkan tindakan untuk pastikan kita dapat capai sasaran turunkan kes,” katanya sebelum itu pada sidang media berkenaan.

Melemparkan senyuman manis kepada kira-kira 30 pengamal media yang hadir, sifat merendah diri Dr Noor Hisham terserlah apabila beliau turut mengambil peluang memperkenalkan timbalan serta pegawai yang digelarnya sebagai ‘panglima’ yang sering berada di kiri dan kanan beliau ketika sidang media berlangsung.

Antaranya Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Ketua Bahagian Kawalan Penyakit Dr Norhayati Rusli.

Beliau turut meluangkan masa melihat lukisan murid Sekolah Kebangsaan Batu Arang, Selangor yang memaparkan pelbagai mesej terima kasih kepada petugas barisan hadapan dalam mengendali dan menguruskan COVID-19. 

Baru-baru ini, Dr Noor Hisham, yang juga pakar bedah, telah mengharumkan nama negara apabila diiktiraf oleh China Global Televisyen Network (CGTN) sebagai seorang daripada tiga doktor terbaik di dunia dalam menangani situasi COVID-19. 

Semalam, eksklusif kepada Bernama, Ketua Pengarah Kesihatan itu menyampaikan pesanan meminta semua rakyat Malaysia kekal duduk di rumah dan mematuhi PKP sebagai hadiah hari lahirnya dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak yang telah meragut ratusan ribu nyawa di dunia.

Dr Noor Hisham, pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013 menggantikan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman.

BERNAMA

1234