Dua Kadar Zakat Fitrah Di Sabah Tahun Ini

Yang Dipertua MUIS, Datuk Dr Hasbullah Taha mengumumkan kadar zakat fitrah di Wisma MUIS. – Foto STR/Rafiqah Dahali

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengumumkan dua kadar zakat fitrah tahun ini, RM6 dan RM7.50 seorang mengikut kemampuan pembayar zakat.

Kadar berkenaan mengambil kira keadaan semasa terutama kumpulan yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagi kumpulan ini, kadar ditetapkan lebih rendah iaitu RM6 bersamaan satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras Myanmar 15 peratus hancur.

Mereka yang mampu boleh membayar RM7.50 mengikut kadar harga beras putih Vietnam 5 peratus hancur.

Yang Dipertua MUIS, Datuk Dr Hasbullah Taha, berkata jumlah bayaran yang perlu dibuat adalah bergantung kepada kemampuan pembayar dan ketua keluarga.

Umat Islam di negeri ini diminta membayar zakat fitrah melalui amil bertauliah atau secara dalam talian. Seramai 39 penyelaras amil dan 1,967 wakil amil dilantik untuk mengutip zakat fitrah di seluruh negeri sepanjang Ramadan tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata kutipan zakat fitrah Sabah tahun lalu ialah RM9,772.966.00 membabitkan seramai 1,396,138 pembayar. Jumlah itu meningkat 2.1 peratus berbanding 2018.

Secara keseluruhan, katanya kutipan zakat di Sabah tahun lalu berjumlah RM85,608,989.96 termasuk kutipan zakat harta sebanyak RM75,836,023.- BH Online

1209