Punca Jangkitan Covid-19 Ke-21 Di Sandakan Masih Disiasat

SANDAKAN: Kes ke-21 Covid-19 yang direkodkan di daerah ini tidak membabitkan mana-mana kluster atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif sebelum ini.

Kes terbabit sekali gus mengubah kategori daerah ini daripada zon kuning kepada zon jingga.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr Johari Awang Besar, berkata berdasarkan siasatan awal, pesakit terbabit juga telah mengunjungi beberapa lokasi untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pesakit juga tidak mengalami gejala atau tanda jangkitan Sistem Pernafasan Akut.

“Punca jangkitan masih sedang disiasat. Ia tidak berkaitan dengan kelompok atau kluster tertentu dan bukan hubungan rapat dengan kes positif yang disahkan sebelum ini.

“Justeru, adalah penting untuk semua penduduk agar terus berada di rumah, sentiasa menjaga kebersihan tangan dengan betul, melindungi diri dengan memakai topeng muka, amalkan jarak sekurang-kurangnya satu meter dan etika batuk,” katanya.

Johari turut mengesahkan sebuah klinik swasta, Klinik Khoo Dr Arasu yang terletak di Bandar Ramai-Ramai di sini ditutup bermula hari ini susulan kes positif ke-21.

Mesej menerusi aplikasi WhatsApp tular sejak semalam yang mendakwa seorang wanita dari daerah ini yang positif Covid-19 mendapatkan rawatan di beberapa klinik antaranya Klinik Khoo Dr Arasu, City Scan (Bandar Utama, IJM) dan Taman Merpati antara 8 hingga 12 April.

SumbeR: BorneoToday

5174