Pasar Tanjung, Pasar Ikan Tawau Guna QRPay Mulai 1 Mei

Pasar Ikan Tawau

TAWAU, 19 April: Penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai secara QRPay akan dikuatkuasakan di Pasar Tanjung serta Pasar Ikan Tawau mulai 1 Mei ini.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Ir Amrullah Kamal berkata, langkah itu merupakan antara usaha mengekang penularan wabak COVID-19 di daerah ini, yang diisytiharkan sebagai zon merah.

Berikutan itu menurutnya, MPT bekerjasama dengan Maybank Tawau, bagi bagi pelaksanaan QRPay Biz untuk peniaga dan pengunjung pasar.

Pasar Tanjung Tawau

“Penggunaan Maybank QRPay itu tidak terhad kepada pengguna akaun Maybank sahaja, tetapi turut diluaskan kepada bank lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Amrullah berkata, dengan penguatkuasaan kaedah itu, orang ramai boleh mendaftar dengan Maybank QRPay secara dalam talian.

Dalam pada itu, katanya MPT turut mencadangkan agar transaksi tanpa tunai itu dapat dilaksanakan di semua pasar, pasar raya serta premis perniagaan di Tawau yang dibenarkan dibuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

“MPT mengharap kerjasama semua pihak iaitu peniaga dan pembeli menggunakan langkah transaksi tanpa tunai ini,” katanya.

Sementara itu Amrullah berkata, pihaknya bersama jabatan serta agensi barisan hadapan terus meningkatkan usaha mematahkan sebarang rantaian COVID-19 di Tawau.

“Antara usaha dilaksanakan MPT ialah misalnya di pasar meletakkan garisan jarak semeter (jarakkan sosial), menetapkan tempoh pengunjung berbelanja selama 20 minit, dan menghadkan bilangan kemasukan pengunjung ke pasar dihadkan pada satu-satu masa,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *