HWKKS & Hospital Keningau Dikenalpasti Sebagai Kluster Covid-19

KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Datuk Dr Christina Rundi memandang serius selepas Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) dan Hospital Keningau dikenalpasti sebagai kluster penularan Covid–19 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Tindakan drastik telah diambil bagi membendung penularan penyakit ini di hospital-hospital berkenaan. Antara langkah yang telah diambil ialah membuat saringan ke atas semua anggota kesihatan yang terlibat termasuk juga kontak keluarga dan sosial.

Christina Rundi

Menurutnya mereka juga telah diarahkan untuk menjalani kuarantin samada di rumah atau di kemudahan yang telah disediakan oleh pihak JKNS, katanya.

Penemuan kluster ini adalah hasil siasatan terperinci pihak JKNS berkaitan kes jangkitan Covid-19 melibatkan anggota kesihatan sejak dua minggu lalu, katanya dalam laporan harian Covid-19 untuk 16 April.

Menurutnya kluster Covid-19 di HWKKS turut menyumbang kepada peningkatan kes bagi daerah Kota Kinabalu yang kini telah mencapai angka 42 dan menjadi Zon Merah kedua di Sabah selepas Tawau.

Daripada 42 kes Covid-19 di Kota Kinabalu, Dr Christina berkata 24 kes adalah dari kluster tabligh manakala kluster anggota kesihatan pula merekodkan 11 kes di mana lapan daripadanya melibatkan mereka yang bertugas di HWKKS. 

“Hasil siasatan awal mendapati punca jangkitan kes adalah daripada luar hospital dan kemudiannya menjangkiti beberapa kontak sekerja. 

“Siasatan juga mendapati tiada berlaku jangkitan silang kepada pesakit kerana semua anggota menggunakan PPE semasa bertugas.  Besar kemungkinan, jangkitan telah berlaku di luar wad kerana terdapat kes positif dalam kalangan kontak sekerja yang juga merupakan kontak serumah,” katanya.  

“JKNS ingin menasihatkan orang awam untuk tidak bimbang dengan situasi ini kerana pihak kami akan sentiasa berusaha untuk memastikan fasiliti kesihatan tidak menjadi tempat penularan penyakit Covid-19.

“Pihak JKNS juga akan memastikan perkhidmatan hospital dapat diteruskan seperti sedia ada.,” katanya.

Sementara itu tiga kes positif baharu dilaporkan pada 16 April iaitu dua di Kota Kinabalu dan satu di Keningau menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 288 kes bagi negeri Sabah.

Setakat 15 April jumlah keseluruhan sampel yang telah diproses adalah 23,480 daripada 279,826 orang yang telah menjalani saringan pemeriksaan.

Pada 15 April  juga seramai 34 lagi orang telah ditempatkan di 25 Pusat Kuarantin di seluruh negeri.

Jumlah kumulatif yang masih berada di Pusat Kuarantin adalah seramai 739 orang sementara 77 orang pula telah dibenarkan pulang pada hari ini menjadikan kumulatif discaj kuarantin sehingga 15 April seramai 1,010 orang. Katanya.

Dr Christina sekali lagi mengingatkan orang awam agar tidak mendiskriminasi golongan yang sedang dikuarantin di rumah serta menuduh mereka sebagai pembawa penyakit.

“Masih terdapat keluhan dalam kalangan mereka yang dikuarantin di rumah mana masyarakat menganggap mereka sebagai pembawa penyakit,” katanya sambil menambah bahawa stigma ini hanya akan menimbulkan masalah lebih besar.

Sumber: SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *