Covid-19: Kluster Baharu Di HWKKS Dan Hospital Keningau

KOTA KINABALU: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) dan Hospital Keningau kini dikenalpasti sebagai kluster penularan Covid–19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata ia berikutan terdapatnya penularan wabak berkenaan membabitkan anggota kesihatan di dua hospital itu.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sudah melakukan siasatan terperinci tentang perkara ini sejak dua minggu yang lalu. Kluster HWKKS turut menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 bagi daerah Kota Kinabalu.

Christina Rundi

“Menerusi 42 kes Covid-19 di daerah ini, kluster tabligh merekodkan 24 kes manakala kluster anggota kesihatan iaitu 11 kes. Daripada 11 kes, lapan kes membabitkan petugas kesihatan di HWKKS.

“Hasil siasatan awal mendapati punca jangkitan kes adalah daripada luar hospital sebelum menjangkiti beberapa kontak sekerja. Siasatan juga menunjukkan tiada berlaku jangkitan silang kepada pesakit kerana semua anggota menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) sewaktu bertugas,” katanya melalui kenyataan media di Kota Kinabalu.

Dr Christina berkata kemungkinan besar jangkitan berlaku di luar wad berikutan terdapat kes positif dalam kalangan kontak sekerja yang juga kontak serumah.

Dalam pada itu, Christina menyatakan pihaknya memandang serius situasi terbabit dan sudah mengambil langkah drastik untuk membendung penularan Covid-19 di dua hospital berkenaan.

“Antara langkah yang telah diambil ialah membuat saringan ke atas semua anggota kesihatan yang terbabit termasuklah kontak keluarga dan sosial.

“Semua anggota berkaitan turut diarahkan menjalani kuarantin samaada di rumah atau pergi ke kemudahan kuarantin yang disediakan oleh JKNS,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak bimbang dengan situasi itu kerana pihaknya akan sentiasa berusaha untuk memastikan fasiliti kesihatan di Sabah tidak menjadi tempat penularan penyakit Covid-19.- HMetro

9617