Polis Bantu Sambut Bayi Lahir Di Dataran Todak

Kakitangan hospital membantu mengangkat wanita yang bersalin di kawasan Dataran Today, untuk dihantar ke HWKKS Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Seorang wanita bukan sahaja terpaksa melalui saat-saat mencabar apabila melahirkan bayinya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi menempuh detik mencemaskan selepas melahirkan bayinya di kawasan Dataran Todak, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Pahmah Nastih, 38, dari Kampung Kasuapan, Pulau Gaya, di sini, tidak sempat dibawa Ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas.

Bayi perempuan yang selamat dilahirkan di kawasan Dataran Todak, Kota Kinabalu, malam tadi.

Menceritakan detik cemas itu, abang ipar Pahmah, Halilih Ladjahali, 50, berkata Pahmah tiba-tiba mengadu rasa sakit hendak bersalin sebelum dia bersama isteri bergegas membawanya menaiki bot dari Kampung Kasuapan menuju ke Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di jeti, saya cuba mendapatkan kenderaan untuk pergi ke HWKKS namun keadaan di kawasan itu lengang kerana tempoh PKP.

“Pada masa sama saya meminta bantuan anggota polis yang bertugas menguatkuasakan PKP untuk menghubungi ambulans,” katanya ketika ditemui di perkarangan HWKKS.

Menurutnya, ketika dia bersama isteri memapah Pahmah menuju ke jalan utama, Pahmah mengadu sakit perut hendak bersalin.

“Isteri saya kemudian menenangkannya dan kebetulan dua anggota polis termasuk seorang anggota wanita yang sedang membuat rondaan terus menghulurkan bantuan.

“Tidak lama selepas itu, isteri saya memaklumkan kepala bayi sudah kelihatan sambil anggota polis wanita terbabit membantu Pahmah bersalin di kawasan Dataran Todak,” katanya.

Beberapa minit kemudian ambulans dari HWKKS tiba dan membawa Pahmah bersama anak perempuan yang selamat dilahirkan.

“Saya dan isteri tinggal serumah bersama Pahmah dan ketika itu suaminya tiada di rumah kerana keluar ke laut menangkap ikan.

“Alhamdulillah, doktor memaklumkan Pahmah dan anaknya dalam keadaan baik dan stabil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata ketika kejadian itu, dua anggota polis termasuk seorang anggota polis wanita sedang membuat pemantauan dan rondaan di sekitar kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu dan Dataran Todak bagi menguatkuasakan PKP.

“Melihat situasi itu, anggota polis wanita itu kemudian segera membantu dengan ditemani oleh kakak wanita terbabit dan wanita itu selamat melahirkan bayinya.

“Wanita bersama anaknya kemudian dibawa menaiki ambulans untuk dihantar ke HWKKS bagi menjalani rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, walaupun dalam keadaan PKP, menjadi tanggungjawab anggota polis membantu orang ramai dalam keadaan kesusahan lebih-lebih wanita terbabit hendak bersalin dan amat memerlukan pertolongan.

SumbeR: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *