KOTA KINABALU: Hanya dua bot sahaja dibenarkan bergerak bagi setiap kampung di Pulau Gaya sebagai langkah drastik pengawalan penularan COVID-19 di kawasan terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, itu adalah antara langkah untuk memperketatkan arahan penguatkuasaan fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pulau berkenaan.
“Sebelum bergerak, setiap penghulu kampung perlu membuat saringan kesihatan terlebih dahulu mengikut keperluan serta kesesuaian.
“Manakala bagi operasi pergerakan bot kita membahagikan kepada dua fasa masing-masing enam bot untuk tiga kampung pertama pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan pada sebelah petang kita membenarkan pergerakan enam bot bagi tiga lagi kampung bermula jam 2 hingga 5 petang,” katanya.
Katanya kesemua bot hanya dibenarkan bergerak sekali setiap masa bagi tujuan menghantar serta menunggu penumpang untuk dibawa balik.
“Bagi pergerakan kepada bukan pekerja perkhidmatan perlu kerajaan (essential service) kita hanya membenarkan tujuan membeli barangan keperluan asas serta perkara mendesak sahaja.
“Kita menggerakkan anggota dari Pasukan Polis Marin (PPM) untuk penguatkuasaan ini bagi memastikan lagi keberkesanan usaha ini dan kita harapkan penduduk sekitar Pulau Gaya mematuhi sepenuhnya arahan dikeluarkan ini.
“Kita akan melaksanakan tindakan lebih tegas pada fasa ketiga PKP dan polis tidak teragak-agak untuk menahan individu ingkar dan degil,” katanya.
Pulau Gaya sebelum ini mencatatkan kejadian penemuan mayat lelaki yang tergantung di kawasan Bukit Kampung Pondo Pulau Gaya dan hasil ujian mengesahkan mayat berkenaan positif COVID-19 pada 6 April lalu. – Utusan Borneo