Lancar, 42,569 Telah Terima Bantuan Covid-19 Di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 42,569 golongan sasar yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menerima bantuan yang disediakan melalui Pakej Bantuan Covid-19 Sabah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM16.845 juta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata, golongan berkenaan adalah miskin tegar, miskin, kumpulan berpendapatan terendah 40 peratus (B40) dan para penerima yang layak tetapi terkeluar daripada senarai e-Kasih.

Katanya, turut menerima bantuan ialah peserta Ladang Mini Estet Sejahtera (Mesej), malim gunung dan porter serta pekebun kecil sawit, koko, getah, penternak dan nelayan.

“Bantuan tersebut sudah disalurkan kepada akaun bank penerima, manakala, bagi penerima yang belum mempunyai akaun bank, pembayaran secarai tunai ke rumah penerima oleh pejabat daerah bersama-sama dengan pejabat Unit Pemimpin Pembangunan masyarakat (UPPM) dan Jabatan Kebajikan.

“Bagi kategori pekebun kecil sawit, koko dan getah, penternak dan nelayan yang selebihnya, penyaluran bantuan khas kepada penerima-penerima yang kini sedang dilaksanakan oleh agensi/ atau abatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ewon berkata, bantuan tersebut adalah melibatkan pembayaran tunai one-off sebanyak RM500 dan RM300.

Berikut adalah senarai penuh bantuan berkenaan:

Bantuan Khas RM500

(i) Kategori Miskin & Miskin Tegar Dalam e-Kasih: 20,376 orang (RM10,188,000)

Bantuan Khas RM300

(ii) Kategori Terkeluar Dalam e-Kasih : 12,467 orang (RM3,740,100)

(iii) Peserta Ladang Peserta MESEJ : 236 orang (RM70,800)

(iv) Malim Gunung & Porter : 313 orang (RM93,900)

(v) Pekebun Kecil Sawit : 54 orang (RM16,200)

(vi) Pekebun Kecil Koko : 2,019 orang (RM605,700)

(vii) Pekebun Kecil Getah : 5,971 orang (RM1,791,300)

(viii) Penternak : 460 orang (RM138,000)

(ix) Nelayan : 673 orang (RM201,900)

Menurut Ewon, kementeriannya yang ditugaskan untuk menyalurkan bantuan itu kini hanya memfokus kepada pembayaran bantuan khas bagi mereka yang berdaftar dalam sistem e-Kasih sahaja.

“Kementerian sedang memproses baucer pembayaran bagi penerima-penerima yang selebihnya. Saya akan memberi kenyataan yang selanjutnya berkenaan status semasa penyaluran bantuan ini.

“Bagi rakyat yang tergolong dalam golongan B40 tetapi tidak berdaftar dalam sistem e-Kasih, mereka boleh mengemukakan permohonan mendapatkan bantuan dengan melayari pautan http://bantuan.covid19.sabah.gov.my,” jelas beliau.

SumbeR: BorneoToday

1424