COVID-19: Yayasan Sabah Tanggung Kos Bawa Balik Pelajar Dari Semenanjung, Sarawak

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria.

KOTA KINABALU: Yayasan Sabah akan menanggung kos membawa pulang pelajar tajaan mereka ke negeri ini selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Pengarahnya, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria, berkata pihaknya masih dalam proses mendapatkan kebenaran itu.

“Kami dalam proses mendapatkan kebenaran dan menulis surat kepada pihak berkuasa untuk membawa semua pelajar sekolah menengah tajaan Yayasan Sabah kembali ke Sabah.

“Sebaik saja kebenaran diperoleh, kami akan membawa pelajar ini balik dengan segera dan semua kos untuk membawa mereka akan kami tanggung.

“Buat masa ini, tumpuan kami adalah membawa pulang pelajar sekolah menengah berikutan pelajar institusi pengajian tinggi diminta untuk kekal berada di lokasi masing-masing sepanjang tempoh PKP, ” katanya.

Terdapat 87 pelajar sekolah menengah tajaan Yayasan Sabah di Semenanjung, manakala 36 lagi di Sarawak.

Jamalul Kiram berkata, pihaknya juga sedang berhubung dengan Malaysia Airlines dan AirAsia bagi penerbangan sewa khas membawa balik pelajar berkenaan.

“Saya cenderung untuk memilih penerbangan sewa khas khusus untuk pelajar tajaan kami ini supaya tidak bercampur dengan orang lain.

“Saya berharap pelajar kami dibenarkan dibawa balik ke Sabah dan dikuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

SumbeR: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *