Warga Emas Hidup Sebatang Kara Di Tawau Lama Dapat Perhatian

Kelihatan susuk tubuh pakcik Tandra yang uzur, tinggal sendirian di rumah usang tanpa fasiliti yang lengkap.

TAWAU: Kedaifan seorang warga emas yang hidup sebatang kara di sebuah rumah usang di kawasan setinggan Kampung Tawau Lama mendapat perhatian warganet di daerah ini.

Beliau yang dikenali sebagai Daeng Tandra berumur kira-kira 80an sebelum ini tular di media sosial kerana kedaifan hidup yang dialaminya.

Tandra yang tidak fasih berbahasa Melayu itu difahamkan sudah tinggal sendiri lebih 20 tahun sejak merantau dari tanah seberang Indonesia untuk bekerja di daerah ini dan hidup berpindah randah sehinggalah menetap di kawasan setinggan ini.

Keadaan rumah warga emas tersebut.

Kediaman usang itu hanya berdindingkan papan lapis buruk di samping tidak mempunyai kemudahan asas seperti air dan elektrik serta tidak mempunyai tandas.

Kini, Tandra hanya bercucuk tanam di kawasan tanah terbiar dan mengharapkan ehsan daripada penduduk di kawasan itu memberikan makanan setiap hari.

Rusdiana

Penduduk prihatin, Rusdiana Saleng, 36, berkata cerita pakcik Tandra ini diketahuinya bermula daripada seorang pemuda bernama Rahmat berniaga kuih yang selalu memberi makanan dan memuat naik di Facebook tentang keadaan warga emas ini.

“Bermula dari situ, saya berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan cerita pakcik Tandra ini dan berniat untuk memberi bantuan sekadar termampu,” katanya.

Mengulas lanjut, minggu lalu saya mendapat tahu Rahmat tidak berada di Malaysia kerana terpaksa balik ke negara asalnya dan dari situ tergerak hati untuk melihat keadaan pakcik Tandra.

“Saya datang sendiri ke rumah pakcik Tandra untuk memberikan makanan dan saya melihat keadaan hidupnya sangat terabai serta tidak terurus.

“Selesai dari rumah itu , saya bertekad untuk berkongsi cerita dengan rakan-rakan yang mahu membantu warga emas ini dan hari ini, kami datang sekali lagi membawa sedikit makanan asas hasil sumbangan rakan yang lain,” katanya.

Mauhizatul

Mauhizatul Hazana Mase pula berkata, sejak kami umumkan untuk mengumpul dana sumbangan di grup WhatsApp, ramai rakan-rakan yang tampil untuk memberikan sumbangan berupa wang ringgit.

“Sehinggakan ada di kalangan mereka yang saya tidak kenal juga tampil menghulurkan bantuan untuk memberikan amanah kepada kami menyampaikan sumbangan mereka.

“Dalam grup berkenaan juga, kami banyak membincangkan berkaitan bagaimana untuk memberikan bantuan selain daripada bahan asas supaya pakcik Tandra tidak dilihat terabai,” katanya.

SumbeR: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *