Warga Asing Dipenjara 3 Bulan Denda RM1,000 Sabung Ayam Ingkar PKP

TAWAU: Padah menyertai aktiviti sabung ayam ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang lelaki dipenjara tiga bulan penjara dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Salleh Alkali, 52, yang juga warga asing selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Selain itu, tertuduh juga berdepan hukuman tambahan penjara satu bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan anggota polis yang menjalankan rondaan Ops Covid-19/ Ops Dadu di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, kira-kira jam 11 pagi 9 April lalu.

Hasil siasatan, tertuduh didapati bergerak dari satu tempat ke tempat lain iaitu dari Jambatan Warisan 8 ke kawasan berkenaan untuk menyertai aktiviti sabung ayam.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Dg Nur Azarinawaty Ag Kachee sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk proses penghantaran pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *