95 Peratus Kes COVID-19 Di Tawau Kluster Tabligh

Christina Rundi

KOTA KINABALU: Sekitar 95 peratus kes positif COVID-19 di daerah Tawau tertumpu kepada kluster tabligh.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, sebanyak 32 daripada 79 kes COVID-19 yang dilaporkan di Tawau terlibat dalam perhimpunan tabligh di Seri Petaling.

Katanya, 31 kes lagi adalah kontak generasi pertama manakala dua kes generasi kedua dan satu kes generasi ketiga.

Beliau berkata, sembilan lagi kes turut membabitkan tabligh iaitu tiga kes warga Sabah yang hadir di perhimpunan tabligh di Sulawesi Indonesia dan enam kes tabligh lagi adalah warga asing.

“Selain itu, dua kes mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara manakala satu kes lagi adalah kes sporadik dengan satu kontak,” katanya dalam kenyataan di sini.

Christina berkata, sehingga kini, Tawau merekodkan jumlah kes positif COVID-19 tertinggi di Sabah dan dikategorikan sebaga zon merah diikuti Kota Kinabalu dan Lahad Datu yang masing-masing merekodkan sebanyak 39 kes positif setakat 13 April 2020.

Menurutnya, sembilan daripada 39 kes positif di Kota Kinabalu adalah kluster yang hadir perhimpunan tabligh di Seri Petaling.

Katanya, melalui kes-kes berkenaan, sebanyak 11 kes kontak generasi pertama dan empat kes kontak generasi kedua. Di samping itu, 10 kes sporadik dilaporkan iaitu lapan kes adalah anggota kesihatan dan dua kes sporadik tempatan dengan satu kes generasi pertama.

“Terdapat satu kes yang mempunyai sejarah ke luar negara dengan dua kes kontak generasi pertama. Sementara itu, satu kes adalah kontak generasi pertama kepada kes di Tuaran yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

“Sehingga 13 April 2020, sebanyak 14 kes baharu COVID-19 dilaporkan di Sabah iaitu lapan kes dari Tawau, dua kes dari Kota Kinabalu dan masing-masing satu kes dari Lahad Datu, Tuaran, Penampang, dan Keningau menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 280 kes,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, pengurusan kes sporadik lebih mencabar untuk mengenal pasti punca jangkitan dan memerlukan aktiviti kawalan yang lebih luas.

Sehubungan itu katanya, sebagai rumusan orang awam dinasihatkan supaya tidak menilai situasi wabak berdasarkan jumlah kes sahaja tetapi juga kepada risiko transmisi.

Sementara itu, dalam tempoh bermula 8 hingga 10 April 2020, sejumlah 5,007 ujian siap diproses. Bagaimanapun, pihaknya turut mengingatkan jumlah sampel akan bertambah sekiranya terdapat kumpulan sasar baharu yang dikenal pasti.

“Pada 12 April 2020, sebanyak 1,390 ujian dijalankan dan 20 ujian positif termasuk enam sampel ulangan. Jumlah keseluruhan sampel yang diproses sehingga tempoh berkenaan adalah sebanyak 21,750 sampel daripada 241,340 orang yang menjalani saringan pemeriksaan,” jelasnya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *